Tuesday, August 25, 2009

Senang bukan syarat tenang..

Dalam abjad rumi, huruf S dan T berjiran. Tetapi bila menjadi perkataan senang dan tenang,bunyinya boleh membuatkan orang yang baru belajar Bahasa Melayu atau orang pekak confuse. Sebenarnya pakar bahasa Melayu dan orang yang tidak pekak pun selalu confuse tentang dua perkataan ini. Buktinya, ramai orang mencari senang untuk mendapat tenang tidak kira tahu berbahasa Melayu atau tidak..tidak kira telinga pekak atau peka.. sedangkan senang bukan syarat tenang.....
Orang yang tinggal di banglo besar,kita mengatakan mereka orang senang..tetapi tidak semua orang di banglo besar hidupnya tenang. Sebab itulah mereka memasang alat penggera dan ada juga yang mengupah pak guard untuk mengawasi rumah mereka. Bukan kerana senang, tetapi kerana tidak tenang.Kerana apa??Takut dan bimbang menghantui mereka setiap masa,jikalau waktu mereka masuk melalui pintu depan, pencuri dan penyamun masuk melalui pintu belakang.
Berbuat dosa juga senang,tetapi side-effectnya membuat hati kita menjadi tidak tenang,malah resah gelisah. Kerja mengata orang dan mengumpat seumpamanya,boleh dibuat dengan senang.Gerakkan lidah,betulkan makhraj dan keluarkan bunyi dari mulut.Tetapi selepas itu,hati dilanda serba salah dan serba tidak tenang.
Yang payahnya, orang mahu nampak tenang dengan senang. Tenang itu berharga..perkara berharga tidak akan dapat dimiliki dengan bersenang-senang. Mengunyah agar-agar pun,berpuluh-puluh otot yang perlu bekerja!!
Senang itu nampak di mata sedangkan tenang dirasai oleh hati. Banglo besar boleh dilihat dengan mata, kereta besar boleh dilihat dengan mata, wang banyak dan orang gaji yang ramai boleh dilihat dengan mata..segala yang berbentuk zahir dapat dilihat dengan mata atau disentuh oleh pancaindera. Tetapi tenang hanya dapat dirasai oleh hati.
Bila hati tenang, tempat yang sempit pun terasa lapang..tetapi bila hati resah, padang bola pun terasa menghimpit seperti lif yang penuh sesak.
Tenang hanya dapat dimiliki dengan zikir mengingati Allah. Bila menyebut zikrullah, kita selalu membayangkan perlunya kita duduk di tikar sembahyang dan membaca zikir berjam-jam.Sebab itu kita merasa pelik jika dikatakan zikrullah boleh membuat hati merasa tenang.. kerana ramai orang yang sudah berzikir,tetapi tetap tidak tenang. Di mana salah dan silapnya?
Tenang itu dirasai oleh hati..jika zikrullah hanya meniti di bibir,hati tidak akan terkesan. Zikrullah dengan hati, memahaminya dan menghayati..mengingati Allah pada setiap detik perjalanan hidup,itulah hakikat zikrullah.Jika sekadar melafazkan " Alhamdulillah " beribu kali tetapi hati tidak ingat Allah itulah dikatakan berzikir, maka silap tekaan kita.Sekadar melafazkan ayat zikir,mungkin burung kakak tua pun boleh menyebutnya jika dilatih setiap hari.
Hanya hati yang bergantung sepenuhnya dengan Allah dapat merasa nikmat tenang. Bagaimana boleh tenang jika lidah menyebut "Alhamdulillah " tetapi hati berkata " Tidak sepatutnya Allah tidak memakbulkan doa aku".
Bila mengingati Allah ketika susah, Allah akan memberikan kita ketenangan.Bila kita melupakan Allah ketika senang, Allah akan mencabut rasa tenang di hati.Bila mengingati Allah di waktu susah dan senang, hati tetap tenang.
Lebih baik mendapat tenang daripada senang. Tetapi jika memperolehi kedua-duanya,beruntunglah kita!!

No comments:

Post a Comment